Kata Aluan Presiden 2011-2013

Bismillahirrahmannirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua ex-semesdians ke laman portal rasmi Alumni SMSD. Semoga kita akan dapat bersua-muka dan bertegur-sapa tak kira di alam maya mahupun di luar apabila berjumpa kelak.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, saya sangat berbesar hati untuk memaklumkan bahawa alumni kita telah pun mencapai usia tujuh tahun semenjak penubuhannya pada tahun 2005 yang lalu. Pelbagai aktiviti dan program telah direncana bagi memastikan alumni ini kekal relevan dan sentiasa mengorak langkah bagi mencapai matlamat awal penubuhannya.
Dimaklumkan juga bahawa kandungan laman ini akan sentiasa dikemaskini termasuklah pengisian maklumat, gaya persembahan, dan kemudahan berurusan bagi memastikan ahli menerima dan mengetahui perkembangan yang terkini. Saya megucapkan ribuan terima kasih atas kesudian anda semua melayari laman ini. Semoga laman ini akan terus menjadi wadah rasmi Ex-Semesdians dalam perkongsian informasi yang berguna buat semua.
Saya juga sangat mengharapkan agar ahli alumni dapat meluangkan masa dan memberi sumbangan ke arah kemajuan alumni di samping sebagai salah-satu cara kita untuk berbakti kepada bumi permata Sekolah Menengah Sains Dungun. SMSD adalah tempat di mana kita belajar erti realiti sebenar sebuah kehidupan.
"Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain."
Wassalam.
Yang ikhlas,
Ar. Che Wan Ahmad Faizal Che Wan Putra
Presiden Ex-Semesdians 2011-2013
NOTIS PANGGILAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (AGM) KALI KE-8
Rujukan kami : EX-SEMESDIANS/Notis AGM 8/2012 (1) Tarikh : 10 Mei 2012
Ybhg Saudara/ Saudari,
NOTIS PANGGILAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (AGM) KALI KE-8 TAHUN 2012 PERSATUAN BEKAS PELAJAR SEKOLAH MENENGAH SAINS DUNGUN (EX-SEMESDIANS). Selaras dengan ketetapan Fasal 6 : Mesyuarat Agung (1) "Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan hendaklah diadakan setahun sekali atau bila-bila masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa dengan syarat tidak melebihi Lapan Belas (18) Bulan daripada tarikh Mesyuarat Agung Tahunan sebelumnya“ 2. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Ex-Semesdians dengan segala hormatnya menjemput saudara/saudari untuk menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ex-Semesdians sebagaimana maklumat berikut : Tarikh / Hari : 7 JULAI 2012 (Sabtu) Masa : 1.30 petang – 5.00 petang Tempat : DEWAN BESTARI, SEK MEN SAINS DUNGUN, 23000 DUNGUN, TERENGGANU. Tema : "WE ARE HERE, ONE BIG FAMILY".
AGENDA MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE - (8)
3. Justeru itu, kami amat mengharapkan kehadiran saudara/saudari semua untuk bersama-sama menjayakan Mesyuarat Agung Ex-Semesdians kali ke-8 nanti. Keprihatinan serta kehadiran saudara/saudari semua saya ucapkan berbanyak terima kasih.
Sekian,
Yang benar,
MARYANI RAZALI Setiausaha Kehormat, Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun (EX-SEMESDIANS) Back To School. SPM 2012 1 Harapan, 1 Impian, 1 Tekad.
Cikgu Syed Hamid Bersara
Bumi permata Sekolah Menengah Sains Dungun yang kita sayangi akan kehilangan seorang tenaga pendidik yang telah lama menabur budi dan bakti di SMSD. Nama Cikgu Tuan Syed Hamid Syed Deraman memang amat sinonim dengan SMSD dan semua pelajar dari era 80-an,90-an mahu pun era milenium pernah menjadi anak didik beliau. Cikgu Syed Hamid memulakan karier sebagai seorang guru pada tahun 1976. Sekolah pertama tempat beliau mengajar adalah di SMK Kunak, Sabah pada tanggal 1 Januari 1976 sehinggalah pada 1 Januari 1981. Kemudian beliau telah bertukar ke negeri asalnya Terengganu iaitu di SMK Sultan Omar. Beliau sempat mengajar di SMK Sultan sebelum beliau tiba dan menjadi antara generasi pengasas kepada Sekolah Menengah Sains Dungun. Beliau memulakan karier di SMSD bermula dari tanggal 01 Ogos 1982 sehinggalah ke tarikh persaraan beliau 22 Mac 2012 iaitu kira-kira hampir 30 tahun. Beliau merupakan generasi pendidik pertama di SMSD. Ramai antara anak didikan beliau telah pun berjaya dalam karier. Anak didik beliau merentasi era 80-an hingga yang terkini 2012. Cikgu Syed Hamid adalah insan yang sangat dihormati dan dijadikan teladan kepada para guru. Beliau juga sering diingati kerana tidak pernah lambat sesaat pun ke kelas. Kami warga Exsemesdians sangat berterima-kasih dan berasa amat terhutang budi kepada cikgu Syed Hamid. Dengan ini kami mengucapkan selamat bersara kepada cikgu. Kami doakan agar hidup cikgu sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan dari Allah SWT. Terima kasih atas segala ilmu yang telah dicurahkan selama ini. Cikgu Syed Hamid, TERIMA KASIH CIKGU..!! |





















