Daftar masuk






Hilang Kata Laluan?
Belum Memiliki Akaun? Daftar
Advertisement
Laman Utama arrow Nukilan arrow Nukilan Am arrow Sumbangan guru hambat penjajah - Mohd Roshdi Hassan
Sumbangan guru hambat penjajah - Mohd Roshdi Hassan
Wednesday, 21 May 2008
MENONTON iklan merdeka Proton, kisah Cikgu Kamal dan Aman versi tiga minit cukup menyentuh perasaan saya. Saya mengulanginya beberapa kali untuk mengkaji mesej yang hendak disampaikan kepada rakyat Malaysia.

Saya hanya melihat iklan tersebut dari aspek kemasyarakatan sahaja. Saat yang menyayatkan saya apabila lebih 10 tahun berlalu, Cikgu Kamal masih lagi terbayangkan Aman yang sedang membaca buku di halaman sekolah, sehingga dia pergi memanggil pelajar tersebut dengan nama Aman.

Alangkah mulia hati seorang guru yang bernama Cikgu Kamal ini walaupun pernah dianiaya oleh muridnya yang bernama Aman ini. Tidak ada perkara yang lebih menggembirakan dan membanggakan Cikgu Kamal selain daripada melihat Aman membesar menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat setelah 20 tahun berlalu, beliau kembali ke sekolahnya bagi menabur khidmat baktinya kepada masyarakat.

Setiap tindakannya, walaupun dianggap salah oleh pelajar hanyalah semata-mata ingin melihat pelajar itu menjadi insan yang berguna kepada masyarakat. Kebanyakan pelajar akan memahami tindakan gurunya betul apabila sudah meningkat dewasa.

Saya mungkinla tak senakal Aman di zaman persekolahan, tapi saya berpendapat peranan guru penting dalam pembentukan anak bangsa. Mereka tempat anak bangsa dididik selain ibubapa mereka.

Pensyarah dan profesor tidak langsung disamatarafkan dengan kedudukan cikgu dalam masyarakat. Ada beberapa bekas guru yang saya temui, masih lagi menggelarnya “cikgu” walaupun sudah menjadi pensyarah di universiti. Bahkan saya pernah jumpa seorang pensyarah yang kini bergelar profesor, masih lagi membahasakan dirinya “cikgu”.

Mulia

Bagi saya kerjaya guru amat mulia dan lebih mulia daripada kerjaya doktor di hospital dan klinik kerajaan.

Kalau diteliti ketika bangsa Melayu berjuang menuntut kemerdekaan, di peringkat bawahan mereka diketuai oleh golongan guru. Pemimpin utama negara yang lampau, seperti Tun Ghafar Baba, pernah menjadi Setiausaha Persatuan Guru dari tahun 1946 hingga 1948.

Maktab Perguruan Sultan Idris atau UPSI pada hari ini, telah tercatat dalam sejarah kerana sumbangannya kepada kemerdekaan tanah air. Merekalah yang meniupkan semangat kemerdekaan kepada anak bangsa pada masa itu. Pada masa itu, murid sekolah bukannya kanak-kanak kecil seperti hari ini. Mereka adalah terdiri daripada masyarakat yang dah mula menyedari kepentingan ilmu untuk kemajuan bangsa dan negara.

Keperluan guru pada masa itu amat mendesak dan sesiapa yang lulus darjah enam boleh terus menjawat jawatan guru. Peranan guru pada masa itu diibarat sebagai kilang untuk melahirkan masyarakat yang tahu membaca dan seterusnya mengambil alih pemerintahan negara dari tangan penjajah.

Pada masa itu, peranan guru juga adalah meyakinkan para ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka mendapat pendidikan formal di sekolah.

Apabila negara sudah menjadi semakin membangun, dan bilangan rakyat buta huruf semakin berkurangan, kerjaya guru sudah tidak dianggap mulia dan pilihan utama di universiti hari ini. Jasa-jasa guru kepada masyarakat hanya tinggal dalam sejarah.

Yang lebih malang lagi, kerjaya guru dianggap sebagai pilihan terakhir jika tidak ada peluang pekerjaan. Bahkan sekarang ini amat sukar mendengar orang membahasakan dirinya “cikgu” di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Ada juga sesetengah guru merendah diri apabila memperkenalkan diri mereka sebagai guru kepada golongan yang lebih elit daripada mereka.

Kepada para guru, perjuangan anda masih belum selesai. Pada saat negara mencapai kemajuan, anda harus meningkatkan usaha untuk memerdekakan anak bangsa daripada budaya yang melalaikan mereka.

Seseorang guru sepatutnya berbangga dengan kerjaya yang dimilikinya. Tonggak kemajuan sesebuah negara banyak terletak di bahu para guru di sekolah.

Tanpa golongan yang bergelar “cikgu” dalam masyarakat, tidak akan lahir golongan doktor, peguam, jurutera, akauntan, peniaga dan sebagainya. Sebab itulah negara menyambut Hari Guru setiap 16 Mei bagi memperingati jasa para guru yang memberi sumbangan besar kepada negara.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih dan selamat Hari Kebangsaan kepada para guru terutama yang pernah mengajar saya di Sekolah Kebangsaan Mentuan, Kelantan dan Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu dan tidak lupa kepada seluruh rakyat Malaysia. MERDEKA!

 

Artikel ini disumbangkan oleh Mohd Roshdi Hassan (Batch 1989) dan disiarkan di Utusan Malaysia 31 Ogos 2006 - Editor

 
< Prev   Next >